Posted in CERPEN

CERPEN SERAM : TEMAN

 

cover-cerpen

Sudah tiga hari aku tak dapat tidur. Setiap kali pejam mata mesti terbayang susuk tubuh seseorang. Wajahnya tak jelas. Jantinanya juga tidak dapat dikenalpasti. Perasaan seram muncul setiap kali aku cuba pejam mata.

Aku capai botol pil tidur di sebelah katil. Beberapa biji pil dikeluarkan dan aku menelan rakus. Berharap sangat kali ini aku dapat tidur dengan lena. Selang beberapa minit mataku terasa berat dan semakin memberat. Ini yang aku mahu. Tiada lagi bayangan susuk tubuh seseorang menjelma di ingatan.

Krik… Krik…

Bunyi kerusi ditarik mengembalikan aku ke dunia nyata. Hilang terus rasa mengantuk tadi. Shit! Baru nak tidur. Aku memasang telinga.

Krik… Krik…

Kali ini bunyi kerusi ditarik lebih panjang. Aku menelan liur. Siapakah yang sedang menarik kerusi itu sedangkan aku tinggal berseorangan di rumah sewa ini? Tiba-tiba keadaan sunyi. Tiada lagi bunyi kerusi yang ditarik. Aku menarik nafas lega. Aku cuba memejam mata buat kesekian kalinya.

Pang! Pang!

Pintu bilik diketuk kuat. Sangat kuat sehingga dinding bilik yang dibuat dari kayu ini bergegar. Aku menutup telinga dengan tapak tangan sambil mata dipejam rapat.

“Ini semua mainan perasaan. Sebab aku dah lama tak tidur.” Aku menyedapkan hati sendiri. Selepas beberapa minit, keadaan kembali sunyi. Hanya kedengaran deruan angin bertiup di luar rumah.

“Aku perlu tidur.” Sekali lagi aku mencapai botol ubat tidur dan menelan beberapa biji pil lagi. Kali ini pasti berkesan.

++++

Cahaya matahari memancar masuk ke dalam bilik tidurku melalui celahan dinding kayu. Aku menggeliat kecil. Selesa apabila dapat tidur dengan lena malam tadi. Kepala terasa sangat ringan. Aku membuka tingkap dan membiarkan angin masuk ke dalam. Sebatang pokok tanpa daun yang berada betul-betul di hadapan rumah ini dipandang lama. Aku tarik senyum.

“Idea!” Pantas aku berlari turun ke bawah untuk mendapatkan komputer riba yang aku letak di ruang tamu. Laju aku membukanya dan menaip segala idea yang berada di fikiran.

Aku seorang penulis novel seram yang baru saja menyewa di rumah kampung ini. Aku memilih kawasan ini kerana jauh daripada orang lain. Aku perlu ketenangan. Dan semalam merupakan kali pertama ada kejadian pelik yang berlaku sepanjang aku menyewa di sini. Aku mematikan pergerakan jariku. Kepala ditoleh ke belakang.

“Semalam tu mimpi atau realiti?” Aku bangun untuk ke dapur. Mataku terpandang kerusi meja makan yang berada di hadapan pintu. Semalam posisi kerusi itu bukan di situ. Perlahan aku mengangkat kerusi itu dan diletakkan kembali pada kedudukan asal.

Aku memulas paip air singki untuk membasuh tangan. Usai mencuci tangan pilinya aku tutup dan berpaling. Aku mengerut dahi saat telinga masih lagi mendengar bunyi air mencurah keluar. Kepalaku berpaling semula ke belakang. Paip singki tertutup rapi.

“Bunyi air dari mana pula ni?” Aku memasang telinga. Kakiku mengikut langkah bunyi yang terhasil. Aku naik ke tingkat atas dan berhenti di hadapan bilik air. Aku mendekatkan telinga pada pintu. Bunyi air pancut yang sedang mengalir. Laju aku memulas tombol pintu dan menerjah masuk.

Kosong! Air pancut juga langsung tidak terbuka. Aku memandang tingkap yang tertutup rapat.

“Argh, perasaan aku aje kut.” Aku mahu berlalu tetapi langkahku mati saat kaki terasa sejuk. Seperti baru memijak air. Air? Cepat-cepat aku memandang lantai yang basah. Seolah-olah ada orang baru selesai mandi.

“Siapa?” Soalku lantang. Kepalaku dipusing ke kiri dan kanan. Aku berlari turun ke bawah untuk melihat semua pintu dan tingkap takut jika ada pencuri yang memecah masuk.

“Tapi, pencuri tak akan mandi dekat sini pula?” Aku masih berteka-teki. Ketenanganku diragut lagi apabila telinga mendengar bunyi almari dibuka. Perlahan saja bunyinya.

“Siapa?” Kali ini aku mencapai sekaki payung yang tersangkut di belakang pintu.

Bang! Bunyi pintu almari dihempas kuat. Kedengaran seperti orang yang sedang melepaskan marah. Aku mengetap bibir. Dengan keberanian yang masih bersisa aku naik ke bilik atas. Sunyi sama seperti tadi. Hanya aku seorang yang berada di dalam rumah ini. Aku meraup muka.

“Apa yang tak kena dengan aku ni? Dengar yang bukan-bukan pula.” Aku mula serabut. Tangan meramas rambut tanda melepaskan geram. Aku terduduk di atas tilam dengan perasaan yang bercampur baur.

“Kau dengar suara aku tak?” Ada suara berbisik di telinga. Halus. Aku terus terbangun dari duduk. Jantung dah rasa macam nak tercabut. Bulu roma semua sudah menegak.

Aku pandang sekeliling. Rasa seram sejuk.

“Shit!”

Entah dah berapa kali aku mencarut. Dalam hati memang dah takut gila. Aku tarik nafas sambil menjengah ke luar tingkap. Sunyi sepi. Rumah kampung ini berada di atas tanah persendirian dan jauh dari rumah yang lain. Senang kata hanya ada aku di kawasan ini.

Aku ambil keputusan untuk duduk di bawah. Kalau duduk aje dalam bilik macam ni takkan membantu langsung. Aku mundar-mandir di ruang tamu sambil menggigit kuku. Satu habit bila aku tengah fikirkan sesuatu.

“Aku salah dengar ke?”

Fikiranku bersoal jawab sesama sendiri. Dengan hati yang masih gusar aku kembali duduk di atas sofa dan mencapai komputer riba. Pandanganku terus terarah kepada Microsoft Word yang sedang terpapar di skrin.

 

            Tolong aku Hadi! Tolong! Aku yang buka paip air dalam bilik air tadi. Aku hempas almari tapi kau tak dengar. Hadi, kau dengar tak? Tolong aku Hadi….

 

Tanganku yang sedang memegang komputer riba terus terlepas. Punggung terus bangun berdiri.

“Gila! Ni memang gila!” Aku jerit kuat-kuat.

“Hoi! Siapa yang nak main-mainkan aku ni, ha? Keluar sekarang!” Dadaku benar-benar berombak marah. Aku tahu ada malaun yang nak takutkan aku sekarang.

Dengan kasar aku membuka pintu rumah. Aku berjalan ke sekeliling rumah sambil membawa sebatang kayu. Tahap kemarahanku memang dah paling maksima sekarang.

“Keluar! Siapa yang berani sangat tu tunjuklah muka.” Sekuat hati aku menjerit di luar. Aku ketawa bila tak ada seorang pun yang muncul.

“Pengecut! Pandai nak takutkan aku lepas tu kau lari.” Aku ketawa tak ingat dunia. Tanganku menyeluk poket seluar untuk ambil henset. Nombor Ji aku dail. Seminit… dua minit…

“Hoi, Ji! Kau memang nak mampus, kan?” Tanpa pamitan aku terus sembur.

“Apa hal kau ni, Hadi? Tak pasal nak mencarut dekat aku pula!” Ji jawab dengan nada pelik. Aku ketawa.

“Kau ingat aku tak tahu ke? Kau ada dekat sini, kan?”

“Sini mana?”

“Rumah sewa akulah!” Aku jawab geram. Kali ni aku dengar Ji pula yang ketawa.

“Aku ada dekat Sabah. Masa bila pula aku pergi rumah sewa kau?”

“Jangan nak buat lawak, Ji.”

“Seriuslah. Aku dekat Sabah ada meeting. Tak percaya tengok Instagram aku.”

Dan tak semena-mena aku rasa ada angin menyapa belakang tengkuk. Aku telan air liur. Kalau bukan Ji yang kacau aku siapa lagi? Hanya Ji yang tahu tentang rumah sewa aku ni.

“Kau okey tak, bro?” Aku dengar Ji tanya. Dalam hati mula dah rasa tak sedap balik.

“Hmm… okey. Aku chow dululah. Bye!”

Talian aku matikan. Pandangan aku arahkan ke arah rumah sewaku. Tak tahu nak buat reaksi macam mana bila berada dalam keadaan begini.

“Takut ke?” Suara itu berbisik lagi. Kali ini suaranya lebih dalam. Aku hampir melompat kerana terkejut.

Aku gelengkan kepala. Tak mahu terlalu terikut-ikut dengan perasaan. Aku masuk semula ke dalam rumah dan kunci pintu. Kaki aku bawa ke dapur untuk mencari pil tidur.

“Semua ni sebab aku tak cukup tidur.” Aku sedapkan hati sendiri. Beberapa biji pil aku telan rakus. Tangan ada sedikit menggigil.

“Janganlah tidur.” Dan itu suara terakhir yang aku dengar sebelum aku terlelap di ruang tamu.

+++++

“Jangan tuan! Jangan apa-apakan dia tuan.” Seorang wanita sedang merayu sambil melutut di kaki seorang lelaki bertubuh gempal dan bermisai panjang.

“Kau diam!”

“Lepaskan dia tuan. Dia tak bersalah dalam hal ni.”

“Aku cakap diam, diamlah! Nanti dengan kau aku pukul.” Lelaki gempal itu menolak wanita tadi hingga terbaring di lantai.

Aku tak tahu macam mana aku boleh berada di sini. Aku pandang sekeliling dan keadaan masih sama dengan rumah sewaku. Aku sedang berada di ruang tamu. Cuma, rumah ini kelihatan lebih baharu. Dinding kayunya juga masih cantik dan berkilat. Aku berdiri tegak di sebalik dinding menyaksikan drama yang baru berlaku di depan mata.

“Siapa mereka ni?” Aku ngomel sendiri.

Pang!

Pipi seorang lelaki muda ditampar oleh lelaki gempal tadi. Aku ketap bibir. Terkejut! Lelaki muda itu mengesat bibirnya yang pecah. Si wanita tadi terus-terusan merayu. Kini kaki lelaki gempal itu dipeluk.

“Saya merayu jangan apa-apakan anak saya, tuan. Saya merayu!”

“Pergi kau perempuan jahanam!” Kali ini lelaki gempal itu lebih agresif. Dia mencapai batang kayu penyapu dan memukul badan wanita tersebut. Adegan menjadi gamat. Aku menjerit mahu pergaduhan itu dihentikan tetapi sia-sia. Aku sepertinya tidak wujud di situ. Aku hanya sebuah bayang-bayang yang termasuk dalam drama ini. Aku terpandangkan kalendar yang tersangkut di dinding. Tahunnya ku amati lama.

“1940?” Aku bulatkan mata. Terkejut yang amat sangat. Aku toleh kembali kepada pergaduhan tadi. Kini lebih ganas kerana lelaki gempal itu sudah mencapai senapang patah.

Lelaki muda yang dari tadi cuba melindungi wanita tua itu juga sudah terjelopok lemah di sudut dinding. Mukanya sudah dibasahi darah.

“Berhenti! Berhenti!” Lelaki muda itu menjerit apabila senapang patah itu diacu di hadapan wajah ibunya.

Lelaki gempal hanya ketawa berdekah-dekah.

“Kalau kau dua beranak mati sekalipun, tak ada sesiapa akan tahu.”

Jarinya menarik picu. Aku jarakkan diri dari tempat kejadian. Tak sanggup untuk tengok.

“Ini balasan untuk kau perempuan jalang. Kau mengaku budak ni anak aku sedangkan ini anak kau bersama lelaki lain. Matilah kau perempuan!”

Dan picu dilepaskan. Bunyi tembakan kuat kedengaran. Aku gentar. Telinga bingit mendengar das tembakan yang kedua kali pula. Sasarannya masih kepada wanita yang sudah mati itu.

Bang!

Dan das tembakan ketiga dilepaskan. Aku ketap bibir. Pembunuhan yang sangat kejam! Wanita itu sudah mati tetapi kenapa dia ditembak lagi? Aku lihat lelaki muda tadi sudah bangun berdiri. Dia berdiri di belakang lelaki gempal.

“Kau bunuh ibu aku! Kau pembunuh!”

Dan lelaki muda itu menusuk sebilah pisau di belakang lelaki gempal. Ditusuk beberapa kali. Ditusuk lagi dan lagi. Darah pekat sudah terpancut pada muka dan badannya. Rumah ini berbau hanyir. Aku dapat bau dengan jelas.

“Mati! Kau mati bersama-sama dengan ibu aku.”

Lelaki muda itu ketawa lantang. Kedua-dua mayat yang berada di lantai dipandang dengan perasaan suka. Dia ketawa lagi membuatkan bulu romaku menegak. Aku ganjakkan kaki ke belakang. Terlanggar kerusi. Shit!

Aku angkat pandangan. Lelaki muda tadi sedang memandangku dengan senyuman lebar. Mukanya yang dipenuhi darah membuatkan senyuman dia menjadi lebih seram.

“Kau… dah bangun?”

++++

Aku terjaga. Nafas tercungap-cungap mencari oksigen. Aku lihat sekeliling. Aku sedang berada di sofa tempat kali terakhir aku duduk sebelum tertidur tadi. Aku pegang kepala yang agak sakit.

“Kau… dah bangun?” Suara yang selalu saja berbisik itu kedengaran lagi. Suara yang sama dengan lelaki muda dalam mimpi aku tadi. Aku meraup muka. Peluh membasahi seluruh tubuh.

Aku tak hiraukan soalan tadi. Aku tahu itu hanya mainan perasaanku. Aku bangun untuk mencari minuman. Keadaan di luar sudah gelap gelita. Aku tekan semua suis lampu. Terang!

“Bau apa ni?” Aku berpaling. Mataku terbeliak dan tekakku rasa loya apabila lihat lantai rumah ini dipenuhi darah. Aku berpaling lagi bila rasa macam ada seseorang di belakang.

“Hadi, kau dah bangun?” Lelaki itu senyum. Senyuman yang sama cuma kali ini rasa lebih real. Dan kali ini entah kenapa aku rasa macam aku sedang berada pada tempat dalam mimpi tadi? Cepat-cepat aku tampar diri.

“Kau buat apa? Nak bangun?” Lelaki itu ketawa lantang. Aku dah cuak. Peluh memang berbakul-bakul kalau dikumpul ni. Aku nak lari keluar tapi pintu tak boleh dibuka.

“Kau dah bangunlah, Hadi…” Lelaki itu masih bersuara. Aku menggeleng dengan reaksi tidak percaya. Aku terpandang kelibat seseorang yang berdiri di dapur. Bukan lelaki muda tadi, bukan juga lelaki gempal yang dah mati tu dan tentu sekali bukan wanita tua itu. Aku berjalan hampir.

“Aku?” Tanganku menggeletar. Aku tak percaya dengan apa yang aku nampak. Aku lihat ‘aku’ sedang mencuci tangan di singki dapur. Aku dah gentar. Rasa nak terkencing dalam seluar pun ada.

“Kau dah nampak?” Lelaki muda tadi memandangku dengan mata bulat. Aku geleng kepala sambil berlari naik ke atas. Kamar mandi menjadi pilihanku. Aku harus bangun dari mimpi ini.

Pili air pancut aku buka. Seluruh tubuh sudah dibasahi dengan air. Mukaku ditepuk beberapa kali.

“Wake up, Hadi!” Aku cakap pada diri sendiri. Bila aku buka mata lelaki muda tadi sedang duduk bertenggek di depan pintu bilik air.

“Kau sekarang bukan dalam mimpi Hadi.” Dia menyeringai. Aku geleng dan terus keluar menuju ke dalam bilik. Sekali lagi aku selisih dengan ‘aku’ yang baru muncul di kamar mandi.

Aku hampir menangis sebab takut. Apa semua ni? Kenapa aku boleh nampak diri ‘aku’ sendiri? Aku terduduk di lantai bilik. Aku lihat ‘aku’ sudah turun ke bawah semula.

“Kau takkan nampak diri kau sendiri. Kau dah jadi macam aku. Aku akan temankan kau.” Lelaki muda tadi turut duduk di sisinya. Bau hanyir darah kering menyelinap masuk ke dalam rongga hidung.

Aku bangun dan menghempas-hempas pintu almari. Aku mahu ‘aku’ mendengarnya. Aku mahu kembali menjadi ‘aku’. Aku nak bangun dari mimpi ngeri ni. Nyata sekali ‘aku’ mendengarnya. ‘Aku’ kelihatan takut-takut dan terduduk di atas katil.

“Hadi ni aku!” Aku cakap depan ‘aku’. Tapi, malangnya ‘aku’ tidak memberi sebarang reaksi. Aku dekatkan bibir ke telinga ‘aku’ dan membisikkan sesuatu.

“Kau dengar suara aku tak?”

Dan ‘aku’ mula memberi reaksi mengejut. Aku tersenyum mengharapkan yang ‘aku’ mendengar suara aku tadi. Aku ikut saja bila ‘aku’ mundar-mandir dan turun ke ruang tamu.

“Kenapa kau tak dengar suara aku, Hadi? Kenapa?” Aku jerit, tapi tiada siapa yang mendengar kecuali lelaki muda yang setia mengikut aku dari tadi. Mukanya yang masih bersisa darah kering membuatkan aku tak selesa.

Aku terpandangkan komputer riba di atas meja. Wait a minute… Bukan petang tadi aku dah jatuhkan komputer riba ni ke? Aku gelengkan kepala. Tak nak fikir pasal tu sekarang. Yang aku tahu aku nak taip sesuatu supaya ‘aku’ dapat membacanya.

Aku menaip dan terus menaip. Tiba-tiba jariku terhenti. Aku kaku dan tergamam. Aku baca semula apa yang aku dah taip. Ayat ini sudah aku baca petang tadi. Ayat inilah yang membuatkan aku menjatuhkan komputer riba. Akulah yang menaip ayat meminta tolong itu. Aku!

Lelaki muda tadi ketawa dengan semakin galak.

“Kau dah sedar? Kau dah bangun Hadi?” Dia ketawa lagi. Aku pandang dia dengan pandangan kosong.

“Apa semua ni? Sebenarnya akulah yang buat semua bunyi yang aku alami petang tadi. Kan?” Aku ramas rambut. Mataku sudah terbeliak takut. Aku geleng kepala laju-laju.

“Kau dah mati, Hadi! Terimalah hakikat yang kau sekarang dah jadi teman aku di sini.” Lelaki muda itu menyengetkan kepala.

“Lelaki gempal dan ibu aku pun ada juga. Tu…” Lelaki muda menunjuk ke satu arah. Tanpa sesaat pun aku terus termuntah.

Dua susuk tubuh yang dicemari dengan darah kering itu disangkut pada dinding. Seperti perhiasan.

“Aku bosan duduk sorang. Mulai saat ini kau teman aku.” Kali ini senyuman lelaki itu melebihi paras pipi. Terlalu lebar. Aku bangun dari duduk. Tak tahu nak fikir macam mana lagi.

“Petang tadi aku ada telefon Ji. Aku ada cakap dengan Ji.” Aku teringatkan sesuatu. Iya, waktu itu aku masih sedar.

“Kau… tak… telefon…” Sepatah-sepatah lelaki muda bercakap.

“Aku yakin aku ada telefon dia petang tadi.” Bersungguh aku iyakan. Lelaki muda itu mengangkat bahu. Tidak mahu bercakap lagi.

Dan pada waktu yang sama pintu rumah tiba-tiba terbuka. Aku lihat ada beberapa orang pegawai polis dan Ji di situ. Aku ketawa gembira. Siap menangis lagi. Aku tahu semua ni bakal berakhir. Aku akan kembali kepada yang asal.

“Ji!” Aku panggil berulang kali. Tapi, kenapa semua orang tak hiraukan aku?

“Bila kali terakhir awak bercakap telefon dengan Encik Hadi?” Seorang pegawai polis menyoal kepada Ji.

“Seminggu lalu. Tapi, saya tak sempat nak angkat call dia sebab masa tu tengah boarding nak ke Sabah. Dan hari tu hari pertama dia pindah masuk ke rumah ni.” Ji menjelaskan. Aku mengerut dahi. Seminggu?

“Aku dah beritahu kau. Kau tak telefon dia petang tadi.”

Lelaki muda itu masih mahu mencurah api di dadaku. Aku sudah teresak menangis. Lantaklah kalau orang cakap malu je lelaki menangis. Yang penting sekarang aku nak bebas dari sini.

“Tuan! Kami dah jumpa.” Seorang lagi pegawai memanggil. Mereka semua bergegas naik ke atas. Aku turut ikut dari belakang.

Aku lihat Ji sudah menangis. Kenapa? Aku intai ke dalam bilik. Tergamam. Terkaku. Terpana. Semua perkataan yang seerti dengannya aku rasa sekarang. Lemah lututku.

“Hadi…” Ji bersuara perlahan. Aku tahu aku sedang menangis dengan lebih hebat sekarang.

“Kau dah percaya sekarang?” Lelaki muda menjengah di celah-celah antara aku dan Ji. Aku tak mampu menjawab lagi.

Iya, aku sudah ingat sekarang. Mengikut dari keadaan mayatku di atas katil itu, aku tahu masanya adalah pada hari pertama aku berpindah ke sini. Malam itu aku telah menelan pil tidur dengan banyak sebab aku takut.

“Akulah yang kacau kau malam tu. Aku nak kau temankan aku sampai bila-bila.”

Lelaki muda berbisik halus dan diiringi ketawa yang lantang.

 

TAMAT

++++

Author’s notes:

-> Feel free to comment.

-> Enjoy your reading guys. Ini karya pertama saya yang bergenre seram. Maaf kalau kurang best 😉

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements

Author:

Student , Novelist , Female - 24

2 thoughts on “CERPEN SERAM : TEMAN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s